Minggu, 08 September 2013

Mesir Bumi Barakah

Mesir Bumi Barakah : Pilihan Di Tangan Anda


Sekilas Pandang Situasi Mesir
Melihat kepada situasi politik Mesir pada hari ini menimbulkan pelbagai persoalan dan tanda tanya kepada masyarakat. Pelbagai kesimpulan dan rumusan awal telah dibuat oleh pelbagai pihak lebih-lebih lagi ia melibatkan masa depan pengajian pelajar Malaysia di sini.
Apapun Persekutuan Melyu Republik Arab Mesir (PMRAM) melihat situasi di Mesir pada waktu ini masih lagi selamat dan terkawal bahkan pengajian dan peperiksaan di universiti-universiti berjalan seperti biasa. Rata-rata pelajar Malaysia berjumlah lebih 500 orang yang memilih untuk tidak pulang dalam misi evakuasi sukarela yang lepas juga masih boleh melakukan aktiviti harian sebagaimana biasa walaupun perhimpunan aman masih berterusan saban hari dan perintah berkurung masih lagi dikuatkuaskan.
Evakuasi Sukarela yang telah diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) jelas membuktikan bahawa situasi keselamatan Mesir bukanlah mencapai kepada tahap yang begitu terancam menyebabkan semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir ini diwajibkan untuk pulang ke tanah air. Ini jelas kerana evakuasi sukarela itu bersifat pilihan bukanlah paksaan. Apapun kita di peringkat PMRAM menghormati semua pilihan dan kehendak yang telah di buat oleh para pelajar sama ada untuk pulang ke Malaysia mahupun meneruskan kehidupan mereka di Mesir ini.
Kita PMRAM sentiasa mengutamakan soal keselamatan para pelajar yang berada di sini. Pekeliling keselamatan dan maklumat keadaan semasa Mesir sentiasa dikemaskini bagi memastikan para pelajar peka dengan situasi terkini dan mematuhi langkah keselamatan demi memastikan keselamatan diri mereka terjamin.
Perhimpunan Aman dan Perintah Berkurung
Sebagaimana yang diketahui umum, perhimpunan, perarakan dan demonstrasi aman di Mesir masih lagi berlaku bermula pada 28 Jun 2013 dan berterusan sehingga ke hari ini bahkan akan berlanjutan sehinggalah kerajaan Sementara Mesir pada hari ini mengembalikan semula tiga tuntutan utama rakyatnya iaitu mengembalikan presiden mereka yang sah Dr.Muhammad Mursi, menarikbalik penggatungan perlembagaan yang telah dipersetujui oleh rakyat dan memulangkan semula Majlis Syura berserta peranannya.
Oleh itu, demonstrasi yang berlaku saban hari ini merupakan perkara biasa kepada rakyat Mesir untuk menuntut hak mereka. Kita sebagai warga asing di sini menghormati pendirian mereka dan tidak membenarkan sama sekali pelajar Malaysia untuk terlibat dalam aktiviti tersebut. Ini merupakan ketetapan yang perlu dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia di sini bahkan perkara ini telah ditegaskan oleh Kedutaan Besar Malaysia kaherah (KBMK) sebelum daripada ini. Selagi mana mereka mematuhi perkara tersebut, maka keselamatan mereka di sini akan terjamin.
Perintah berkurung yang telah dikuatkuasakan sehari selepas tragedi pembunuhan di Dataran Rabaah dan Nahdah juga masih lagi berterusan sehingga ke hari ini. Pun begitu, tempoh perintah berkurung semakin dikurang, terkini bermula dari jam 11.00 malam hingga jam 6.00 pagi kecuali pada hari Jumaat sahaja masih lagi dikekalkan bermula jam 7.00 malam sehingga ke jam 6.00 pagi.
Tempoh perintah berkurung ini tidak menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian pelajar. Namun begitu, kita PMRAM sentiasa memantau pergerakan para pelajar di sini dengan bantuan cawangan-cawangan yang bernaung di bawah PMRAM iaitu Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM) agar semua pelajar mematuhi perkara tersebut. Tambahan pula, sehingga kini tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dilaporkan.
Masa Depan Pengajian Pelajar
Kesemua universiti di Mesir ini bakal memulakan sesi pengajian baru 2013/2014 sebagaimana yang dijadualkan pada pertengahan September ini. Universiti Al-Azhar juga tidak mengumumkan sebarang penangguhan pengajian untuk sesi baru ini. Bahkan telah secara rasminya telah mengeluarkan takwim tahunan pengajian yang akan bermula pada 21 September 2013 ini.
Berikutan evakuasi sukarela yang telah dijalankan oleh kerajaan Malaysia dan majoriti pelajar Malaysia telah pulang ke tanah air pihak Education Malaysia Egypt (EME) telah mengambil inisiatif berbincang dengan Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir dan Al-Azhar untuk menunda peperiksaan ulangan dan tasfiah kepada minggu keempat bulan September serta menangguhkan sesi pengajian 2013/2014 sehingga ke akhir Oktober sebagaimana yang telah diumumkan oleh EME dan boleh rujuk di laman facebook rasminya.
Adapun bagi pengajian di Universiti Al-Azhar ianya akan bermula pada 21 September 2013 sebagaimana yang diumumkan sebelum daripada ini. Walaupun pihak EME telah mendapat surat bertulis daripada Universiti Al-Azhar bersetuju untuk memulakan sesi pengajian 2013/2014 khusus untuk pelajar Malaysia sahaja pada 19 Oktober 2013 hakikatnya perkara tersebut tidak mendatangkan faedah yang besar kepada pelajar melainkan pelajar di Fakulti Ulum Islamaiah sahaja kerana ianya hanya dikhususkan untuk pelajar asing sahaja.
Adapun pelajar di fakulti lain termasuk Fakulti Bahasa Arab, Syariah & Undang-Undang, Usuluddin dan lain-lain agak sukar untuk dipraktikkan kerana kelas pelajar Malaysia di fakulti tersebut tidak diasingkan dengan pelajar tempatan dan pelajar asing dari negara yang lain. Di samping itu juga, penangguhan kelas ke akhir Oktober itu juga akan menyebabkan pelajar Malaysia ketinggalan dari sudut pengajian mereka dan sedikit sebanyak akan memberi kesan untuk persediaan peperiksaan semesta pertama yang akan berlangsung pada akhir Disember 2013.
Saranan dan Nasihat PMRAM
Oleh yang demikian, kita PMRAM mengharapkan agar pelajar membuat pilihan yang terbaik bagi masa depan mereka dengan membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam membuat keputusan sama ada akan kembali semula ke Mesir dalam waktu terdekat atau ditangguhkan ke waktu yang lain atau menyambung pengajian mereka di universiti-universiti tempatan sebagaimana yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia.
Kita PMRAM sentiasa bersedia untuk memberi pandangan dan lontaran idea serta nasihat kepada para pelajar bagi membantu mereka membuat penilaian dan pertimbangan sebelum memutuskan sesuatu keputusan berkaitan masa depan akademik dan pengajian mereka di sini.
Apa yang kita inginkan adalah mahasiswa dan mahasiswi sedar akan tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan oleh mereka walau di mana sahaja mereka belajar.
Manakala kepada para ibubapa yang risau, bimbang serta terkesan terhadap situasi Mesir yang dipaparkan oleh media tempatan melalui paparan skrin televisyen mahupun akhbar agar meneliti berita tersebut dan seelok-eloknya meminta penjelasan berkaitan situasi Mesir melalui anak mereka sendiri ataupun pelajar yang tinggal di Mesir supaya mereka lebih memahami realiti sebenar keadaan penempatan dan tahap keselamatan pelajar Malaysia di sini dengan lebih tepat.
Kita PMRAM sentiasa mendoakan yang terbaik buat seluruh pelajar Malaysia di Bumi Mesir ini. Buatlah pilihan yang terbaik kerana pilihan itu di tangan anda. Anda yang akan menentukan masa depan anda.
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"
Abdul Aziz Bin Ali
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013
Pejabat PMRAM, Masakin Osman,
Hayyu Sabiek, Madinah Nasr
Kota Seribu Menara, Kaherah
Jam 1.00 pagi - 8 September 2013

Tidak ada komentar:

Posting Komentar