KENDURI ARWAH
Majlis
kenduri arwah lebih dikenali dengan berkumpul beramai-ramai dengan hidangan
jamuan (makanan) di rumah si Mati. Kebiasaannya diadakan sama ada pada
hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun
dan lebih dari itu bagi mereka yang fanatik kepada kepercayaan ini atau kepada
si Mati. Malangnya mereka yang mengerjakan perbuatan ini tidak menyedari
bahawa terdapat banyak fatwa-fatwa dari Imam Syafie rahimahullah dan
para ulama besar dari kalangan yang bermazhab Syafie telah mengharamkan dan
membid’ahkan perbuatan atau amalan yang menjadi tajuk perbincangan dalam
tulisan ini.
Di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz 2. hlm. 146, tercatit pengharaman Imam
Syafie rahimahullah tentang perkara yang disebutkan di atas sebagaimana
ketegasan beliau dalam fatwanya:
وَيَكْرَهُ اتِّخَاذُ الطَّعَامِ فِى الْيَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث
وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقْلُ الطَّعَامِ اِلَى الْقُبُوْرِ
“Dan dilarang (ditegah/makruh)
menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya
sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.
Imam Syafie dan jumhur ulama-ulama besar (ائمة العلماء الشافعية) yang berpegang kepada
mazhab Syafie, dengan berlandaskan kepada hadis-hadis sahih, mereka memfatwakan
bahawa yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si Mati adalah jiran,
kerabat si Mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli
si Mati) sebagaimana fatwa Imam Syafie:
وَاُحِبُّ لِجِيْرَانِ الْمَيِّتِ اَوْذِيْ قَرَابَتِهِ اَنْ
يَعْمَلُوْا لاَهْلِ الْمَيِّتِ فِىْ يَوْمِ يَمُوْتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا مَا
يُشْبِعُهُمْ وَاِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ.
“Aku suka kalau jiran si Mati atau
saudara mara si Mati menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari
kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah
amalan yang sunnah”.
Fatwa Imam Syafie di atas ini adalah
berdasarkan hadis sahih:
قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنِ جَعْفَرَ : لَمَّا جَاءَ نَعْيُ جَعْفَرِ
حِيْنَ قُتِلَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِصْنَعُوْا
لآلِ جَعْفَرِ طَعَامًا فَقَدْ اَتَاهُمْ مَايُشْغِلُهُمْ . (حسنه الترمزى وصححه
الحاكم)
“Abdullah bin Ja’far
berkata: Ketika tersebar tentang berita
terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah
kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan
yang menyebukkan (kesusahan)”.
Dihasankan oleh at-Turmizi dan
di sahihkan oleh al-Hakim.
Menurut fatwa Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri arwah
dengan menikmati hidangan di rumah si Mati, terutama jika si Mati termasuk
keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim
yang masih kecil dan waris si Mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar
dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak
yatim hukumnya haram. Telah dinyatakan juga di dalam kitab (اعانة
الطالبين)
jld. 2. hlm. 146:
وَقَالَ اَيْضًأ : وَيَكْرَهُ الضِّيَافَةُ مِنَ الطَّعَامِ مِنْ
اَهْلِ الْمَيِّتِ لاَنَّهُ شَرَعَ فِى السُّرُوْرِ وَهِيَ بِدْعَةٌ
“Imam Syafie berkata lagi: Dibenci
bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si Mati kerana ia
adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”.
Seterusnya di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz.
2. hlm. 146 – 147, Imam Syafie rahimahullah berfatwa lagi:
وِمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فَعْلُهُ مَا يَفْعَلُ
النَّاسُ مِنَ الْوَحْشَةِ وَالْجَمْعِ وَاْلاَرْبِعِيْنَ بَلْ كَلُّ ذَلِكَ
حَرَامٌ
“Dan antara bid’ah yang mungkar
ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul
beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari keempat puluh (empat pulu
harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.
Ini bermakna mengadakan kenduri arwah (termasuk tahlilan dan yasinan
beramai-ramai) dihari pertama kematian, dihari ketiga, dihari ketujuh, dihari
keempat puluh, dihari keseratus, setelah setahun kematian dan dihari-hari
seterusnya sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam sekarang adalah
perbuatan haram dan bid’ah menurut fatwa Imam Syafie. Oleh itu, mereka
yang mendakwa bermazhab Syafie sewajarnya menghentikan perbuatan yang haram dan
bid’ah ini sebagai mematuhi wasiat imam yang agung ini.
Seterusnya terdapat dalam kitab yang sama (اعانة الطالبين) juz 2. hlm. 145-146,
Mufti yang bermazhab Syafie al-Allamah Ahmad Zaini bin Dahlan rahimahullah menukil
fatwa Imam Syafie yang menghukum bid’ah dan mengharamkan kenduri arwah:
وَلاَ شَكَّ اَنَّ مَنْعَ النَّاسِ مِنْ هَذِهِ الْبِدْعَةِ
الْمُنْكَرَةِ فِيْهِ اِحْيَاءٌ لِلسُّنَّةِ وَاِمَاتَةٌ لِلْبِدْعَةِ وَفَتْحٌ
لِكَثِيْرٍ مِنْ اَبْوَابِ الْخَيْرِ وَغَلْقٌ لِكَثِيْرٍ مِنْ اَبْوَابِ الشَّرِّ
، فَاِنَّ النَّاسَ يَتَكَلَّفُوْنَ تَكَلُّفًا كَثِيْرًا يُؤَدِّيْ اِلَى اَنْ
يَكُوْنَ ذَلِكَ الصُّنْعُ مُحَرَّمًا .
“Dan tidak boleh diragukan lagi
bahawa melarang (mencegah) manusia dari perbuatan bid’ah yang mungkar demi
untuk menghidupkan sunnah dan mematikan (menghapuskan) bid’ah, membuka banyak
pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu keburukan dan (kalau dibiarkan
bid’ah berterusan) orang-orang (awam) akan terdedah (kepada kejahatan) sehingga
memaksa diri mereka melakukan perkara yang haram”.
Kenduri arwah atau lebih dikenali dewasa ini sebagai majlis
tahlilan, selamatan atau yasinan, ia dilakukan juga di perkuburan terutama
dihari khaul .(خول) Amalan ini termasuk perbuatan yang amat dibenci, ditegah,
diharamkan dan dibid’ahkan oleh Imam Syafie rahimahullah sebagaimana
yang telah ditegaskan oleh beliau:
مَا يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِنَ
اْلاِجْتَمَاعِ عِنْدَ اَهْلِ الْمَيِّتِ وَصُنْعِ الطَّعَامِ مِنَ الْبِدَعِ
الْمُنْكَرَةِ
“Apa yang diamalkan oleh manusia
dengan berkumpul dirumah keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah
termasuk perbuatan bid’ah yang mungkar”. Lihat: اعانة الطالبين juz 2 hlm. 145.
Di dalam kitab fikh (حاشية القليوبي) juz. 1 hlm. 353 atau
di kitab قليوبى
- عميرة) -(حاشيتان juz. 1 hlm. 414 dapat dinukil ketegasan Imam ar-Ramli rahimahullah
yang mana beliau berkata:
قَالَ شَيْخُنَا الرَّمْلِى : وَمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ
الْمَكْرُوْهِ فِعْلُهَا كَمَا فِى الرَّوْضَةِ مَا يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِمَّا
يُسَمَّى الْكِفَارَةَ وَمِنْ صُنْعِ طَعَامِ للاِجْتَمَاعِ عَلَيْهِ قَبْلَ
الْمَوْتِ اَوْبَعِدَهُ وَمِنَ الذَّبْحِ عَلَى الْقُبُوْرِ ، بَلْ كُلُّ ذَلِكَ
حَرَامٌ اِنْ كَانَ مِنْ مَالٍ مَحْجُوْرٍ وَلَوْ مِنَ التَّركَةِ ، اَوْ مِنْ
مَالِ مَيِّتٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ وَتَرَتَّبَ عَلَيْهِ ضَرَرٌ اَوْ نَحْوُ ذَلِكَ.
“Telah berkata Syeikh kita
ar-Ramli: Antara perbuatan bid’ah yang mungkar jika dikerjakan ialah
sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab “Ar-Raudah” iaitu mengerjakan amalan
yang disebut “kaffarah” secara menghidangkan makanan agar dapat berkumpul di
rumah si Mati sama sebelum atau sesudah kematian, termasuklah (bid’ah yang
mungkar) penyembelihan untuk si Mati, malah yang demikian itu semuanya haram
terutama jika sekiranya dari harta yang masih dipersengketakan walau sudah
ditinggalkan oleh si Mati atau harta yang masih dalam hutang (belum dilunas)
atau seumpamanya”.
Di dalam kitab (الفقه على المذاهب الاربعة) jld.1 hlm. 539, ada
dijelaskan bahawa:
وَمِنَ الْبِدَعِ الْمَكْرُوْهَةِ مَا يَفْعَلُ الآن مِنْ ذَبْحِ
الذَّبَائِحَ عِنْدَ خُرُوْجِ الْمَيِّتِ اَوْ عِنْدَ الْقَبْرِ وَاِعْدَادِ
الطَّعَامِ مِمَّنْ يَجْتَمِعُ لِتَّعْزِيَةِ .
“Termasuk bid’ah yang
dibenci ialah apa yang menjadi amalan orang sekarang, iaitu menyembelih
beberapa sembelihan ketika si Mati telah keluar dari rumah (telah
dikebumikan). Ada yang melakukan sehingga kekuburan atau menyediakan
makanan kepada sesiapa yang datang berkumpul untuk takziyah”.
Kenduri arwah pada hakikatnya lebih merupakan tradisi dan
kepercayaan untuk mengirim pahala bacaan fatihah atau menghadiahkan pahala
melalui pembacaan al-Quran terutamanya surah yasin, zikir dan berdoa
beramai-ramai yang ditujukan kepada arwah si Mati. Mungkin persoalan ini
dianggap isu yang remeh, perkara furu', masalah cabang atau ranting oleh
sebahagian masyarakat awam dan dilebih-lebihkan oleh kalangan mubtadi' (مبتدع) "pembuat atau aktivis bid'ah"
sehingga amalan ini tidak mahu dipersoalkam oleh pengamalnya tentang haram dan
tegahannya dari Imam Syafie rahimahullah dan para ulama yang bermazhab
Syafie.
Pada hakikatnya, amalan mengirim atau menghadiahkan pahala bacaan seperti yang
dinyatakan di atas adalah persoalan besar yang melibatkan akidah dan
ibadah. Wajib diketahui oleh setiap orang yang beriman bahawa masalah
akidah dan ibadah tidak boleh dilakukan secara suka-suka (tanpa ada hujjah atau
dalil dari Kitab Allah dan Sunnah RasulNya), tidak boleh berpandukan pada
anggapan yang disangka baik lantaran ramainya masyarakat yang melakukannya,
kerana Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah memberi amaran yang tegas kepada
mereka yang suka bertaqlid (meniru) perbuatan orang ramai yang tidak ada dalil
atau suruhannya dari syara sebagaimana firmanNya:
وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ
مَنْ فِى اْلاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ اِنْ يَّتَّبِعُوْنَ اِلاَّ
الظَّنَّ وَاِنْ هُمْ اِلاَّ يَخْرُصُوْنَ
"Dan jika kamu menuruti
kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan
menyesatkan diri kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti
persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap
Allah)".
Al-An'am, 6:116.
Begitu juga sesuatu amalan yang disangkakan ibadah sama ada yang dianggap wajib
atau sunnah, maka ia tidak boleh ditentukan oleh akal atau hawa nafsu, antara
amalan tersebut ialah amalan kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) maka
lantaran ramainya orang yang mengamalkan dan adanya unsur-unsur agama dalam
amalan tersebut seperti bacaan al-Quran, zikir, doa dan sebagainya, maka
kerananya dengan mudah diangkat dan dikategorikan sebagai ibadah.
Sedangkan kita hanya dihalalkan mengikut dan mengamalkan apa yang benar-benar
telah disyariatkan oleh al-Quran dan as-Sunnah jika ia dianggap sebagai ibadah
sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ اْلاَمْرِ فَاتَّبِعْهَا
وَلاَ تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ . اَنَّهُمْ لَنْ
يُّغْنُوْا عَنْكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا
"Kemudian Kami jadikan kamu
berada di atas suatu syariat (peraturan yang wajib ditaati) dalam urusan
(agamamu) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu
orang-orang yang tidak mengetahui (orang jahil). Sesungguhnya mereka sekali-kali
tidak akan dapat menolak diri kamu sedikitpun dari siksaan Allah".
Al-Jasiyah, 45:18-19.
Setiap amalan yang dianggap ibadah jika hanya berpandukan kepada andaian
mengikut perkiraan akal fikiran, perasaan, keinginan hawa nafsu atau ramainya
orang yang melakukan tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada al-Quran, as-Sunnah
dan athar yang sahih untuk dinilai sama ada haram atau halal, sunnah atau
bid'ah, maka perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan (haram dan bid’ah)
menurut syara sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat di atas dan difatwakan oleh
Imam Syafie rahimahullah. Memandangkan polemik dan persoalan
kenduri arwah kerapkali ditimbulkan dan ditanyakan kepada penulis, maka
ia perlu ditangani dan diselesaikan secara syarii (menurut hukum dari al-Quran
dan as-Sunnah) serta fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dari kalangan
Salaf as-Soleh yang muktabar. Dalam membincangkan isu ini pula, maka
penulis tumpukan kepada kalangan para ulama dari mazhab Syafie kerana ramai
mereka yang bermazhab Syafie menyangka bahawa amalan kenduri arwah, tahlilan,
yasinan atau amalan mengirim pahala adalah diajarkan oleh Imam Syafie dan para
ulama yang berpegang dengan mazhab Syafie.
Insya-Allah, mudah-mudahan tulisan ini bukan sahaja dapat menjawab
pertanyaan bagi mereka yang bertanya, malah akan sampai kepada mereka yang
mempersoalkan isu ini, termasuklah mereka yang masih tersalah anggap tentang
hukum sebenar kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) menurut Ahli Sunnah
wal-Jamaah.
adakah menyediakan makan (kenduri arwah) itu yg salah atau amalan tahlil+qur'an+doa itu yg salah?
BalasHapusTulisan Diatas adalah sebuah gambarang pendapat orang-orang yang tidak membolehkan Tahlilan dan Makan kenduri arwah.
BalasHapusNamun jumhur para menyebutkannya boleh..wallahu`alam.