WASIAT IBN 'UMAR
(Radhiallahu 'Anhuma)
Ada beberapa ulama menyangka bahawa pernah
diriwayatkan dari Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya beliau
berwasiat apabila beliau wafat (meninggal dunia) supaya dibacakan di atas
kuburnya surah al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari surah
al-Baqarah. Athar dari Ibn 'Umar inilah antara yang dijadikan hujjah oleh
mereka yang menghalalkan perbuatan menghadiahkan pahala bacaan al-Fatihah
(al-Quran) atau bacaan bertahlil untuk arwah orang-orang yang telah mati.
Menurut penelitian para ulama hadis dan kalangan ulama Ahli sunnah wal Jamaah,
ternyata athar dari Ibn ‘Umar ini adalah batil kerana bertentangan dengan
amalan para sahabat radiallahu 'anhum. Athar ini juga didapati
terlalu lemah dan syaaz (bertentangan dengan hadis sahih), maka athar ini tidak
dapat diterima untuk dijadikan hujjah, menghalalkan amalan menghadiahkan pahala
bacaan al-Quran untuk arwah dan bertahlil beramai-ramai untuk orang mati
sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Islam sejak sekian
lama.
Riwayat ini juga tidak pernah diterima walaupun oleh seorang sahabat dan para
ulama Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana keterangan di bawah ini:
وَاَمَّا مَا يَرْوِيْ عَنِ بْنِ عُمَرَ اَنَّهُ اُوْصِيَ بِقِرَاءَ ةِ
الْفَاتِحَةِ وَخَوَاتِمَ الْبَقَرَةِ عَلَى قَبْرِهِ فَهُوَ اَثَرٌ شَاذٌ لَمْ
يَصِحْ سَنَدُهُ وَلَمْ يُوَافِقهُ عَلَيْهِ اَحَدٌ مِنَ الصَّحَابَةِ.
"Dan apa yang telah
diriwayatkan dari Ibn 'Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan
al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah al-Baqarah di atas kuburnya, maka
itu adalah athar yang syaaz (tidak sahih) dan tidak sahih pula sanadnya.
Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat."[1]
Begitu juga tidak ada suruhan membacakan al-Quran kepada orang mati
atau yang sedang nazak. Adapun hadis yang menyuruh agar dibacakan ayat
al-Quran kepada orang yang sedang nazak atau orang yang telah mati terutamanya
surah Yasin adalah merupakan hadis lemah. Di dalam sanad hadis ini
terdapat seorang yang bernama Saad yang dikenali oleh ulama hadis sebagai Abu
'Uthman. Dia telah dipastikan oleh ulama hadis sebagai orang yang tidak
diketahui keadaannya (مجهول الحال). Hadis yang dimaksudkan
ialah:
اِقْرَؤُوْهَا
عَلَى مَوْتَاكُمْ.
"Bacakanlah oleh kamu (surah
Yasin) ke atas orang yang hampir mati dari kalangan kamu". Hadith lemah.[2]
Menurut hadis yang sahih, perkara yang
sunnah dilakukan kepada orang nazak (bukan orang mati) ialah mengajarkan
kalimah tauhid sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis di bawah ini:
لَقِّنُوْا عَلَى
مَوْتَاكُمْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ
"Ajarkanlah oleh kamu
orang-orang yang nazak di kalangan kamu dengan kalimah: La ilaha
illallah".[3]
Adapun membacakan al-Quran ke atas orang mati
telah diketahui ia perbuatan yang diharamkan oleh Imam Syafie dan sama sekali
tidak ada nas yang mengizinkan untuk melakukan perbuatan tersebut malah
bertentangan dengan nas al-Quran sebagaimana di bawah ini:
اِنَّكَ لاَ تُسْمِعُ الْمَوْتَى.
"Sesungguhnya engkau tidak
boleh menjadikan orang-orang yang telah mati itu mendengar".
AN
NAML, 27:80.
Melalui hujah-hujah di atas adalah jelas bahawa kenduri tahlilan
hanyalah merupakan amalan tradisi sesuatu bangsa. Ia kemudian dianggap
sebagai amalan agama kerana ramai yang mengamalkannya. Tetapi pada
hakikatnya ia bukanlah suruhan atau amalan sunnah sebagaimana yang disangka
oleh sebahagian masyarakat yang tidak mengkaji asal usul kenduri tahlilan
tersebut.
Ada juga beberapa riwayat mengenai suruhan bacaan surah al-Fatihah, surah
al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas kemudian pahalanya dihadiahkan
kepada arwah orang yang telah mati. Riwayat-riwayat tentang perkara ini
juga tidak sah (batil) kerana ianya juga bertentangan dengan al-Quran, hadis
yang sahih dan perbuatan (amalan) para sahabat, tabi'in dan tabi'ut at-tabi'in
(para salaf asSoleh) dikurun al-mufadalah (kurun terbaik). Antara hujjah
untuk menguat dan menghalalkan perbuatan mereka ialah hadis berikut:
مَنْ قَرَاَ قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ اَلْفَ مَرَّةٍ فَقَدْ اشْتَرَى
نَفْسَهُ مِنَ النَّاسِ (حديث موضوع)
"Barangsiapa yang membaca
Qulhuwallahu Ahad sebanyak seribu kali, maka sesungguhnya ia telah membebaskan
dirinya dari api neraka". (Hadis Palsu).
[3]. H/R Muslim (1527), al-Janaiz.
Turmizi (18980). al-Janaiz. Abu Daud (2710) al-Janaiz.
Nasaii (1803). al-Janaiz, Ibn Majah (1430). Ahmad (10570P)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar